ARTIKEL

Berita Harian Online:20/04/2011

Kehidupan memburu keseronokan musnahkan generasi muda
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

2011/04/20

REALITI kehidupan hari ini menunjukkan di mana-mana, termasuk di negara kita seperti wujud satu bentuk kekeliruan di kalangan generasi muda berkaitan pengamalan nilai baru yang menerjah kehidupan mereka. Proses pengaliran nilai baru ini berlaku begitu pantas melalui kepesatan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Anak muda yang tidak kukuh iman dan jati diri akan mudah menerima nilai kebebasan yang merosakkan kehidupan mereka. 

Nilai kebebasan yang dibawa fahaman ’liberalisme’ di era globalisasi ini menjadikan generasi muda kita terdedah kepada pelbagai gejala sosial yang boleh merosak dan memusnahkan jati diri anak bangsa kita. Falsafah liberalisme mengutamakan kebebasan sepenuhnya kepada individu tanpa batasan.
Kehidupan memburu keseronokan atau hedonisme tanpa batasan yang kononnya dikaitkan dengan sikap keterbukaan dan kebebasan kini menjadi budaya yang membimbangkan kita. Apa tidaknya, pelbagai gejala sosial yang wujud dalam masyarakat kita pada hari ini adalah kesan daripada budaya hedonisme yang mampu menghancurkan akal budi anak muda kita.
Pelbagai masalah sosial yang berlaku itu menunjukkan bahawa generasi muda kita semakin ketandusan nilai kerohanian dan adab yang seharusnya mereka miliki selaku khalifah di muka bumi ini. Walaupun masalah sosial di kalangan generasi muda kita belum begitu parah, ia tetap membimbangkan kerana ada tanda-tanda yang menunjukkan gejala negatif ini semakin berkembang, khususnya di bandar besar. 

Pernah satu kajian dijalankan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Haslinda Abdullah, pada 2009 terhadap sekumpulan remaja berisiko di sekitar Lembah Klang mendapati hampir separuh daripada 270 remaja yang disoal selidik terbabit dalam pelbagai aktiviti dilarang adat, budaya dan agama. 

Sebenarnya, mereka yang lemah jati diri itu cenderung memiliki ‘minda terjajah’ atau ‘minda tertawan’. Individu yang memiliki minda tertawan ini akan menjadi kagum dengan nilai kemodenan dan kebebasan tanpa menilai buruk baiknya. Justeru, mereka mudah meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan yang dibawa fahaman yang boleh mengheret kehidupan mereka ke arah kehancuran. 

Apa yang saya sebutkan ini tidak bermakna kita perlu menolak secara mutlak segala yang datang dari luar tamadun dan peradaban kita. Masyarakat wajar mengambil yang terbaik daripada globalisasi tetapi pada masa sama kita perlu mempertahankan nilai dan budaya bersifat positif yang selama ini menjadi elemen penting dalam pembentukan jati diri kita. 
Sebagai warga negara, kita perlu memupuk nilai positif yang dapat membantu secara dinamik proses pembinaan negara–bangsa yang mantap. Asas pembinaan jati diri kita sudah ada iaitu Rukun Negara yang kukuh dengan nilai 1Malaysia. 

Justeru, Penghayatan terhadap Rukun Negara dan nilai 1Malaysia secara mantap dan penuh sedar mampu menjadi pendinding generasi muda kita. 

Jika kita amati dan hayati, kelima-lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu adalah sesuatu yang sangat dekat dengan tradisi dan budaya masyarakat kita. Pegangan yang kukuh terhadap lima prinsip Rukun Negara akan dapat memenuhi aspirasi 1Malaysia yang bertujuan menyatukan rakyat pelbagai kaum dan seterusnya menjadikan negara ini maju menjelang 2020 nanti.






Berita Harian Online:06/03/2011

Persoalan Agama: Remehkan solat punca berlaku maksiat


2011/03/06

SAYA ingin bertanya adakah berdosa seseorang yang melihat sesuatu kemungkaran/maksiat tetapi tidak mencegahnya? Apakah ada sebarang hukum yang boleh mencegah maksiat atau kemungkaran hanya dengan hati. 

Fitri, 
Kajang.
AL-HAMDULILLAH. Wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Abu Sa’id al-Khudri, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu dengan lidahnya dan sekiranya tidak mampu dengan hati. Demikian itu selemah-lemah iman.








myMetro

Pedoman: Kelebihan lafaz dua kalimah syahadah

DIRIWAYATKAN dalam sebuah hadis, pada zaman dulu ada seorang lelaki muallaf yang sedang melakukan wukuf di Arafah, bagi menunaikan salah satu rukun haji yang dilaksanakannya.
Ketika berhenti sebagai memenuhi tuntutan rukun paling penting itu, lalu dia pun mengutip sebanyak tujuh biji batu seraya berniat: “Hai batu-batu, saksikanlah olehmu bahawa aku bersumpah bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.”
Namun, ditakdirkan selepas itu dia tertidur dalam keadaan batu yang dikutipnya itu tadi terletak di bawah kepalanya dan bermimpi seolah-olah tibanya hari kiamat.

Dalam mimpi itu, dia melihat setiap amalan, hinggalah mendapati berat timbangan dosanya itu lebih berat daripada pahala yang dikerjakan ketika di dunia.

Lalu, diperintahkan malaikat untuk berjalan menuju ke sebuah pintu yang sememangnya membawa dirinya terus ke neraka.

Bagaimanapun, ketika hendak melangkah masuk menerusi salah satu pintu itu, tiba-tiba datang batu-batu kecil menghalang laluannya.

Walaupun dicuba beberapa kali untuk memasukkan lelaki itu menerusi pintu itu, ternyata ia sia-sia kerana setiap kali itu juga muncul batu-batu kecil itu yang segera menghalang laluan pintu berkenaan.

Lalu malaikat yang mengiringi lelaki itu kemudian membawanya ke pintu neraka lain dan ternyata ia tetap gagal kerana setiap kali itu juga muncul batu-batu kecil yang menghalang laluan pintu itu hingga habis kesemua tujuh pintu neraka didatangi.

Kerana gagal dalam percubaan memasukkan lelaki itu ke dalam semua pintu neraka, malaikat yang mengiringinya kemudian membawanya menghadap Allah SWT.

Di situlah Allah SWT kemudian berfirman kepadanya yang bermaksud: “Wahai hambaku, aku menyaksikan batu-batu yang engkau kumpulkan di padang Arafah. Aku tidak akan mensia-siakan hakmu. Bagaimana aku akan mensia-siakan hakmu, sedangkan aku menyaksikan syahadah yang engkau ucapkan itu. Sekarang, masuklah engkau ke syurga.”

Lalu malaikat itu kemudian membawanya menuju sebuah pintu syurga dan ternyata tiada lagi batu-batu kecil yang menyekat laluan sebaliknya pintu syurga yang dilaluinya itu terbuka selebar-lebarnya bagi memudahkannya lalu.

Itulah kelebihan bagi sesiapa yang melafazkan dua kalimah syahadah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa: “Barang siapa yang kalimah akhirnya adalah ‘La Ilaha Illallah’ nescaya akan masuk syurga.”

Justeru itu, sama-samalah kita memperbanyakkan mengucap kalimah syahadah dengan niat memperbaharui nilai iman dan Islam dengan menyerahkan diri kepada Allah SWT serta mengikuti syariat yang dibawa Rasulullah SAW, mudah-mudahan kita mendapat Rahmat dan keredaan daripada Allah SWT.